Kapten Leicester City, Wes Morgan melihat tiada apa yang mampu menjadi penghalang bagi merealisasikan impian untuk merangkul gelaran Liga Juara-Juara (UCL).

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu adalah satu-satunya wakil dari England yang mara ke suku akhir selepas Morgan dan Marc Albrighton meledak gol penting ketika menyaksikan mereka menewaskan Sevilla 2-0 di Stadium King Power, Selasa lalu.

Ia dilihat sebagai sinar buat The Foxes musim ini selepas mereka tewas dalam aksi pertama [dengan keputusan 2-1] di Ramon Sanchez Pizjuan, kelab itu kemudian mengambil keputusan untuk memecat Claudio Ranieri.

Mereka bangkit selepas meraih kemenangan ke atas Liverpool dan Hull City dalam saingan domestik untuk keluar daripada zon penyingkiran di bawah bimbingan Craig Shakespeare.

Morgan, yang menjadi tunjang kejayaan Leicester sejak musim lalu, sudah bersedia untuk menghadapi cabaran yang menanti untuk berdepan sama ada Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich mahupun Juventus.

"Kami telah berjaya mencipta kejutan dengan memenangi EPL dan saya pasti dapat mengulanginya dalam saingan UCL musim ini," katanya.

"Saya berpendapat pasukan perlu memberikan tumpuan kepada satu perlawanan demi satu perlawanan."

Morgan turut memberikan pujian kepada Kasper Schmeichel serta menyifatkan penjaga gol itu sebagai dalam kalangan yang terbaik.

"Dia seorang yang menakjubkan -- seorang penjaga gol yang berkualiti dan banyak membantu pasukan.

"Dia telah berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti untuk memastikan harapan kami tidak terkubur."