Ketua pasukan Leicester City, Wes Morgan, akan menggantung but sementara gandingannya di bahagian pertahanan, Christian Fuchs, akan mencari angin baru.

Morgan, yang membantu Leicester meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama pada 2015-akan bersara selepas The Foxes melayani kunjungan Tottenham, malam esok.

Fuchs pula akan meninggalkan Stadium King Power sebaik kontraknya tamat bulan depan.

"Daripada segi apa yang telah dicurahkan Wes kepada saya sejak saya berada di sini, jasanya tidak terhitung," kata pengurus, Brendan Rodgers, yang memberi laluan buat Morgan menjulang trofi kemenangan Piala FA, hujung minggu lalu.

"Saya tahu bahawa ini akan menjadi detik penting buat pemain senior saya, khususnya ketua pasukan. Tetapi saya perlu berpihak pada visi untuk terus maju.

"Dia memberikan saya sokongan hebat. Di lapangan, kariernya jelas akan berakhir tetapi dia masih memainkan peranan yang sangat penting walaupun dia tidak beraksi setiap minggu. Dia tetap mempunyai semangat pahlawan."

Pertahanan berusia 37 tahun itu telah beraksi lebih 750 perlawanan sepanjang karier profesionalnya dan 324 daripadanya -- termasuk 14 gol -- tampil dalam seragam Leicester.



"Kumpulan pemain ini bersatu padu untuk meraih sesuatu yang saya tidak pasti akan berlaku lagi, kami pernah melakukan sesuatu yang dianggap mustahil iaitu memenangi EPL," kata Morgan kepada laman sesawang rasmi kelab.

"Ini sesuatu yang dianggap tidak mungkin berlaku tetapi kami merealisasikannya. Ini adalah saat yang sangat istimewa buat semua orang yang terlibat."

Fuchs juga merupakan anggota skuad ketika mendakap kejuaraan yang tidak ternilai itu.

Selepas tiba secara percuma dari Schalke, dia telah mewakili kelab sebanyak 152 perlawanan.

Barisan kendalian Rodgers itu masih berpeluang ke Liga Juara-Juara musim depan sekiranya dapat memintas Chelsea mahupun Liverpool dalam perlawanan terakhir.