Robert Moreno menegaskan aksi kelayakan Euro 2020 Sepanyol berdepan Romania tidak menghadirkan tekanan kepadanya.

Moreno akan membimbing Sepanyol buat kali pertama dalam aksi utama di Bucharest awal pagi esok selepas mengendalikan pasukan itu sebagai jurulatih sementara Jun lalu ketika merakamkan kemenangan ke atas Kepulauan Faroe dan Sweden.

Kemenangan itu bermakna Sepanyol akan menghadapi aksi kompetitif pertama selepas Luis Enrique mengambil keputusan untuk meletak jawatan dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan dalam Kumpulan F -- rekod bersih yang perlu diteruskan Moreno.

"Saya tidak akan menerima perlawanan ini seperti perlawanan sulung saya. Saya sudah merasainya sebelum ini ketika berdepan Sweden dan Kepulauan Faroe," katanya.

"Mana-mana perlawanan adalah penting dan kami harus menang. Mengatasi Romania menyaksikan kami meraih 15 mata dan semakin hampir melayakkan diri ke Euro 2020.

"Sepanyol mahu menamatkan saingan kumpulan di tangga teratas kerana ia penting ketika sesi undian nanti," ujarnya.

Rodrigo Moreno masih lagi gagal meledak jaringan untuk Valencia dalam LaLiga musim ini tetapi pengendali skuad kebangsaannya itu kagum dengan usahanya sejak menyertai pasukan.

"Saya telah menyaksikan dia di tahap terbaik," kata Moreno. "Kami telah berlatih selama dua hari dan dia kelihatan sudah seperti biasa.

"Rodrigo merupakan pemain yang profesional. Dia akan kembali menemui sentuhan terbaiknya."