Pengendali Sepanyol, Robert Moreno, menjangkakan kapten skuad La Roja dan Real Madrid, Sergio Ramos, akan beraksi sehingga usia 40 tahun.

Ramos, 33, mencatatkan tahap konsisten yang terpuji di peringkat tertinggi sejak melakukan penampilan pertama dalam saingan LaLiga bersama Sevilla pada usia 17 tahun.

Dia berhijrah ke Madrid pada 2005 dan mengesahkan status sebagai legenda pasukan, memenangi setiap kejuaraan yang dipertandingkan sambil turut berjaya di peringkat antarabangsa.

Dia merupakan kunci utama skuad Sepanyol ketika bergelar juara Euro edisi 2008 dan 2012 serta Piala Dunia 2010.

Tatkala Gerard Pique -- gandingannya selama bertahun-tahun dalam skuad Sepanyol -- telah mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa, Moreno melihat Ramos mampu terus beraksi selama tujuh tahun lagi.

"Segala yang dicapainya sangat hebat," kata Moreno.

"Dia memberikan segala-galanya untuk kami, di dalam gimnasium, bilik persalinan serta di atas padang.

"Saya sentiasa melihat semangatnya untuk meningkat dalam semua aspek. Perwatakannya sesuatu yang luar biasa buat kami.

"Dia akan mengatasi rekod Iker Casillas kerana mahu bermain sehingga berusia 40 tahun dan saya fikir dia akan berjaya."

Sepanyol akan menentang Norway dan Sweden dalam saingan kelayakan Euro 2020 menjelang tempoh rehat antarabangsa.