Robert Moreno berharap kemenangan 3-0 Sepanyol ke atas Sweden dalam pusingan kelayakan Euro 2020 di Santiago Bernabeu awal pagi tadi merupakan perlawanan terakhirnya menggantikan tugasan ketua jurulatih, Luis Enrique.

Sepanyol mudah menewaskan Sweden dengan jaringan penalti Sergio Ramos dan Alvaro Morata dalam babak kedua dan satu gol lagi daripada Alvaro Oyarzabal memastikan skuad La Roja itu berkelebihan lima mata di puncak Kumpulan F.

Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut pasukan itu di bawah kendalian Moreno selepas Enrique terpaksa meninggalkan pasukan ekoran masalah keluarga dan diberikan waktu rehat sejak Mac lalu.

Persatuan Bolasepak Diraja sepanyol (RFEF) menegaskan tiada keperluan untuk Enrique meletakkan jawatan dan digantikan selepas Presiden, Luis Rubiales, menegaskan tiada sebarang perubahan yang diperlukan.

Moreno berharap rakan setugasnya itu akan kembali ke pangkuan pasukan menjelang perlawanan dengan Romania dan Kepulauan Faroe, September depan.

"Apa yang paling saya mahukan ialah agar ia menjadi perlawanan terakhir saya mengendalikan pasukan," katanya selepas tamat perlawanan.

Walaupun Enrique masih berehat, dia masih tidak memutuskan hubungannya dengan pasukan itu dengan senarai pemain yang terpilih masih ditentukan olehnya.

Sesuatu yang menimbulkan persoalan dalam perlawanan awal pagi tadi ialah pemilihan Kepa Arrizabalaga selaku penjaga gol utama bagi menggantikan David de Gea sepanjang tiga perlawanan terakhir dengan prestasi penjaga gol Chelsea itu sewaktu sesi latihan membantunya untuk mengekalkan posisi utama.

"Kami tidak melihat bola sepak luar di Sepanyol.

"Jika anda melihat kepada penamat musim ini, dia mempunyai banyak pilihan.

"Kami juga mempunyai Pau Lopez dan ketiga-tiga penjaga gol ini telah memberikan apa yang kami perlukan.

"Kepa berada dalam waktu terindahnya.

"Dalam hidup, anda memerlukan waktu indah dan Kepa tiba daripada waktu itu di mana dia memenangi Liga Europa.

"Sudah pasti kami sedang mencari pasukan tetap, namun ia tidak bagus untuk hanya memiliki satu pasukan utama.

"Anda memerlukan lebih daripada 11 pemain. Terdapat kecederaan yang boleh berlaku dalam kejohanan yang mempunyai banyak pasukan dalam satu kumpulan.

"Pada akhirnya, anda perlu membuat keputusan, namun kami sentiasa memikirkan yang terbaik untuk pasukan Sepanyol.

"Saya tidak pasti bila Kepa akan ditukarkan.

"Saya menghubungi Enrique, Jumaat lalu dan dia mahu mengekalkan penjaga gol itu.

"Beberapa minggu sebelum ini, kami mula memikirkan tentangnya.

"Kemudian kami melihatnya sewaktu sesi latihan dan dengan data yang kami perolehi, kami membuat keputusan untuk mengekalkan Kepa," tambahnya.