Alvaro Morata akan kekal semusim lagi di Juventus selepas pasukan gergasi Serie A itu melanjutkan tempoh pinjamannya sehingga 30 Jun 2022.

Penyerang itu bersetuju untuk kekal di Turin, di mana dia menghabiskan musim 2020-21 secara pinjaman daripada Atletico Madrid.

Morata menjaringkan 20 gol dalam kesemua kejohanan musim lalu, rekod terbaik dalam satu musim sepanjang kariernya, selain menghasilkan 11 bantuan jaringan.

Juve berkata dalam satu kenyataan: "Tiada apa untuk diperbincangkan, Morata berada di tempat yang tepat pada waktu yang tepat. Dan sudah pasti untuk setahun lagi!"

Morata mewakili Juve dari 2014 hingga 2016 sebelum kembali ke Real Madrid bagi musim 2016-17.

Selepas waktu sukarnya bersama Chelsea, dia berpindah ke Atletico Madrid secara pinjaman pada 2019 sebelum menyertai pasukan itu secara tetap setahun kemudian.

Secara keseluruhan, dia telah mendaftarkan 47 gol dan 27 bantuan jaringan sepanjang 79 penampilan selaku kesebelasan utama Bianconeri dalam kesemua kejohanan.

Morata berdepan kritikan sejak kebelakangan ini berikutan prestasi hambarnya bersama Sepanyol.

Pemain berusia 28 tahun itu diejek oleh penyokong sendiri selepas terlepas deretan peluang ketika Sepanyol terikat 0-0 dengan Portugal dalam aksi persahabatan dan menerima nasib sama ketika La Roja terikat tanpa jaringan dengan Sweden dalam perlawanan pembukaan Euro 2020 kelmarin.