Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, melabel kemenangan ke atas Beoungket Angkor dalam aksi Piala AFC malam tadi sebagai tonik memulihkan semangat anak-anak buahnya dalam kempen Liga Super.

JDT melaungkan amaran keras dengan merakamkan kemenangan 3-0 ke atas wakil dari Kemboja itu di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin.

Kemenangan yang diraih hasil jaringan Gabriel Guerra dan Nazmi Faiz itu meletakkan JDT dalam kedudukan terbaik untuk mengungguli Kumpulan F dan seterusnya memasang impian untuk merampas kembali gelaran Piala AFC yang pernah dimenangi mereka, dua tahun lalu.

Apa yang lebih penting, pemain-pemain JDT mula serasi dengan corak permainan yang cuba diterapkannya.

"Kami memulakan permainan dengan baik kerana ingin mencapai misi tiga mata.

"Kami banyak melakukan larian dan pemain saya telah melaksanakan tugas dengan baik.

"Prestasi anak buah saya semakin meningkat dan saya berasakan kami akan mengharungi saingan Piala AFC musim ini dengan baik.

"Sudah tentu kami mahu mengecapi kejuaraan ini sekali lagi," kata jurulatih kelahiran Mexico itu.

Ia juga merupakan detik terbaik mereka untuk bangkit melupakan kekalahan minggu lalu kepada Perak, dalam saingan Liga Super.

"Ini permulaan baik dalam Piala AFC dan kami perlu mengalihkan fokus kepada kempen Liga Super pula.

"Kemenangan adalah penting dalam menyuntik motivasi kepada kami."