Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Benjamin Mora, enggan menuding jari ke arah penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli, sebagai punca kekalahan 1-2 kepada Terengganu FC (TFC) II dalam Liga Perdana di Kuala Terengganu, malam tadi.

Sambil mempertahankan penjaga gol negara itu, Mora menyifatkan JDT II masih memerlukan masa membentuk skuad masa depan yang mantap walaupun diperkuatkan 12 pemain skuad B-21 negara.

Pengendali berusia 38 tahun itu yakin dengan kualiti yang dimiliki pemain-pemainnya, termasuk Muhammad Haziq, walaupun kesilapannya mengundang jaringan kemenangan pasukan lawan.

“Haziq masih muda, masih banyak yang perlu dipelajari. Jadi, saya enggan menilainya daripada hanya satu perlawanan ini.

“Saya juga yakin dia akan meningkatkan kebolehannya untuk menjadi penjaga gol utama skuad kebangsaan,” kata Mora.

Dalam aksi malam tadi, TFC II mendahului pada minit ke-23 selepas Fazly Mazlan tertolak masuk bola ke gawang sendiri hasil hantaran lintang Mohammad Rahmat Makasuf dari sebelah kanan.

Pelawat bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi penyerang, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, yang mudah menyambar rembatan leret Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-68.

Kegagalan Haziq membaca sepakan penjuru Mohamad Arif Fadzilah (m-77) membawa padah buat pasukannya apabila Mohd Radhi Yusof menanduk masuk gol kemenangan TFC II.

“Babak pertama, JDT II bermain baik, terutama dalam 15 minit pertama. Kemudian pemain-pemain mula melakukan kesilapan dalam membuat keputusan.

“Kami bolos menerusi jaringan sendiri serta kesilapan ketika bola mati dan kerana itu, kami dihukum dengan kekalahan ini,” ujar Mora lagi.