Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, tidak menolak betapa Arif Aiman Hanapi menjadi penyelamat maruah kelab terbesar di Malaysia itu dalam pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia, malam tadi.

Menerusi kelebihan agregat paling minimal, Harimau Selatan menafikan cabaran Kedah Darul Aman yang mahu mencipta kejutan di Stadium Sultan Ismail.

Arif Aiman baru berusia 19 tahun tetapi kudrat yang dijelmakannya luar biasa tetapi hanya pada minit ke-40, barulah ada kelegaan di wajah Mora sebaik peluang terhidang segera disempurnakan pemain itu yang tidak berlengah untuk merembat kencang hantaran Leandro Velazquez.

"Dia banyak membantu pasukan hingga memberikan ruang kepada rakan sepasukan untuk berehat.

"Dia banyak berlari dan apabila bola di kakinya, dia mampu menggelecek dan memandangkan kali ini dia meledak gol, boleh dikatakan dia menyelamatkan kami," kata jurulatih dari Mexico itu yang akan mempersiapkan pasukan menghadapi Terengganu, Isnin depan.




Jaringan tunggal Arif Aiman itu menenggelamkan nama-nama seperti Gonzalo Cabrera serta Guilherme De Paula yang lebih diletakkan harapan untuk menembusi gawang Lang Merah.

Bagi pelawat, kejayaan memberikan kesulitan buat JDT biarpun tanpa kekuatan penuh juga satu pencapaian baik walaupun hakikatnya mereka perlu mengucapkan selamat tinggal kepada edisi ke-100 ini.

"Kami tidak memiliki barisan kedua atau seramai 50 pemain (berkaliber) untuk dipilih.

"Kalau saya mempunyai kelebihan itu, saya rasa malam ini (tadi) pasti akan berbeza.

"Hari ini saya hanya dapat turunkan dua pemain import tapi kami masih mampu berikan saingan hebat, " kata jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak.