Vincenzo Montella berasakan pasukannya bermain "perlawanan paling besar" selepas Sevilla menyingkirkan Manchester United 2-1 dalam Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal hari ini.

Selepas mengharungi perlawanan pertama tanpa jaringan di Seville tiga minggu lalu, ramai yang menganggap United sebagai pasukan pilihan untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir.

Tetapi Sevilla mempunyai perancangan lain di Old Trafford, dengan menyekat ancaman serangan tuan rumah sebelum meledak sepasang gol lewat.

Wissam Ben Yedder, yang diperkenalkan dari bangku simpanan pada minit ke-72, menjaringkan dua gol dalam tempoh enam minit selepas dimasukkan untuk memaksa United memerlukan tiga gol.

Romelu Lukaku merapatkan kedudukan tetapi kebangkitan itu tidak cukup sempurna, membolehkan Sevilla meraikan tempat dalam kelompok lapan terbaik buat kali pertama sejak 1958 dalam pertandingan kelab utama Eropah itu.

"Saya sangat gembira, kami menang di stadium yang sangat istimewa ini dan ini kali pertama dalam 60 tahun, kami berada di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara," kata Montella dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Saya sangat gembira mempunyai pemain yang ada semangat Sevilla dalam jiwa dan hati mereka. Semua pemain hebat, mereka bermain "perlawanan paling besar".

"Walaupun kami tidak mencipta peluang pada babak pertama, kami melakukan persembahan yang baik. Saya berasakan kami mengawalnya dengan bijak dan kami memberi mereka peluang yang sangat sedikit untuk menghampiri gol kami.

"Pada babak kedua, saya gembira Ben Yedder mengubah keadaan dan dia adalah pemain yang berbeza. Dia menjadi pemisah dan menyudahkan dua gol dengan baik," tambahnya.