Vincenzo Montella memberi bayangan bahawa dia berminat menangani skuad kebangsaan Itali.

Montella, yang membantu Sevilla mengetepikan Manchester United dalam Liga Juara-Juara minggu lalu, bukan antara tiga nama yang disenaraipendekkan oleh Naib Pesuruhjaya Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Alessandro Costacurta.

Pengurus Chelsea, Antonio Conte, menjadi sasaran utama Costacurta manakala jurulatih sementara, Luigi Di Biagio, dan pengurus Zenit, Roberto Mancini, turut menarik minat skuad yang diberi jolokan Azzurri itu.

Jurulatih B-21, Di Biagio, bakal mengetuai perlawanan persahabatan Itali dengan Argentina dan England bulan ini.

Tanpa mengira nama-nama yang disebutkan oleh Costacurta itu, bekas tonggak Itali, Montella, menyatakan tidak akan menolak peluang untuk memimpin skuad negaranya.

"Ia merupakan impian buat mana-mana jurulatih untuk melatih pasukan kebangsaan mereka," kata Montella kepada Rai.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku jika mereka mendekati saya.

"Saya selesa di Sevilla dan kontrak saya berbaki setahun lagi.

"Adakah saya akan ke Juventus? Mereka mempunyai jurulatih yang hebat dan ketika ini (Massimiliano) Allegri akan terus berada di sana memandangkan dia sedang melaksanakan tugasan yang hebat."

Sevilla kehilangan Jorge Sampaoli pada Mei 2017 kerana keinginannya untuk mengemudi Argentina selepas semusim di Andalusia dengan membantu mereka meraih tiket Liga Juara-Juara.

Montella kemudian dilantik pada Disember lalu susulan pemecatan Eduardo Berizzo dan pengurus berusia 43 tahun berkenaan menggunakan kesempatan itu untuk membina semula reputasinya dengan membawa Sevilla menduduki tangga keenam LaLiga selepas gagal di AC Milan.

"Saya telah melakukan beberapa kesilapan tetapi saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik," kata Montella tentang kegagalannya di San Siro.

"Terdapat beberapa pemain baru yang tidak mempunyai pengalaman antarabangsa, sesetengah pihak inginkan keputusan segera tetapi saya fikir kami memerlukan masa, kesabaran diperlukan."