Jurulatih, Vincenzo Montella, akan terus mendapatkan sokongan pengurusan Sevilla untuk setidak-tidaknya sehingga akhir musim ini.

Montella, yang mengambil alih kelab berkenaan sejak Disember lalu, berdepan tekanan yang semakin meningkat susulan kemarau kemenangan dalam lapan perlawanan.

Pengurus dari Itali itu melihat pasukannya dibelasah 5-0 oleh Barcelona dalam perlawanan akhir Copa del Rey, hujung minggu lalu.

Tetapi selepas mesyuarat lembaga pengarah selama lima jam semalam, Sevilla mengesahkan Montella akan dikekalkan sehingga akhir kempen ini.

"Kami bertemu dengannya selama tiga jam pada Ahad lalu dan dia memberitahu kami bahawa dia berasa kuat, bersemangat, berkebolehan dan yakin bahawa dia boleh membawa kami ke Liga Europa," kata pengerusi kelab, Jose Castro.

"Kami mempunyai keyakinan yang sama terhadapnya -- ia adalah keputusan sebulat suara."

Castro menambah: "Setidak-tidaknya buat masa ini, sehingga akhir musim ini, maka selepas itu kami akan membuat keputusan.

"Prestasi kami pada musim ini turun dan naik. Kami juga bermain 16, 17 perlawanan lebih banyak daripada pasukan lain dan itu menjejaskan persembahan kami dalam liga.

"Jika ada sesuatu yang boleh kita lihat, kami bercita-cita tinggi dan kami telah berusaha untuk mencapai kejayaan dalam semua pertandingan," katanya.

Jika Montella kekal, Pengarah, Oscar Arias, pula sebaliknya bakal angkat kaki pada akhir musim ini sambil Sevilla berharap untuk mendapat pengganti dalam tempoh sebulan.

Sevilla sedang menduduki tempat ketujuh LaLiga dengan baki lima perlawanan untuk mereka merebut slot Liga Europa.