Ketua jurulatih Fiorentina, Vincenzo Montella, memuji Franck Ribery sebagai seorang pemain yang "menakjubkan" selepas bekas bintang Bayern Munich itu berhijrah ke kelab Serie A tersebut.

Ribery menyempurnakan perpindahan secara percuma ke Fiorentina selepas meninggalkan juara Bundesliga, Bayern -- pemain sayap veteran Perancis itu dilaporkan menandatangani kontrak selama dua tahun.

Pemain berusia 36 tahun itu menikmati karier selama 12 tahun di Allianz Arena, menjuarai sembilan gelaran Bundesliga dan satu Liga Juara-Juara (UCL), dan Montella memuji Ribery.

"Dia seorang pemain yang menakjubkan. Ribery memiliki keazaman dan kami percaya dia mampu beraksi cemerlang bersama kami," kata Montella kepada Sky Sport Italia.

"Dia telah menjalani sesi latihan pertama bersama kami semalam. Ketiadaan beberapa pemain, jadi saya menyarung kasut dan turun menyertainya berlatih."Fiorentina akan membuka kempen Serie A di laman sendiri berdepan Napoli yang dibimbing Carlo Ancelotti, Sabtu ini.

Ditanya jika Ribery akan membuat penampilan sulung, Montella berkata, "Kami akan melihat terlebih dahulu untuk beberapa hari menerusi sesi latihan.

"Kami tidak akan memaksa Ribery dan dia memerlukan masa untuk kembali mendapatkan sentuhan terbaiknya."