Monchi menggesa peminat Roma agar menyokong pasukan mereka dengan cara yang positif apabila mereka menjadi tuan rumah kepada perlawanan menentang Liverpool dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Mencetuskan sensasi menyingkirkan Barcelona selepas kemenangan 3-0 dalam suku akhir di laman sendiri, kelab Itali itu sedar jika keputusan yang sama diperolehi Khamis ini, ia akan memastikan mereka mara ke final.

Liverpool akan berkunjung ke Stadio Olimpico sebagai pasukan pilihan selepas skuad Jurgen Klopp itu mencatat kemenangan 5-2 dalam perlawanan pertama.

Aksi di Anfield dicemari oleh isu-isu di luar padang sebelum sepak mula, dengan dua lelaki Itali ditahan Polis Merseyside berhubung kejadian seorang lelaki berusia 53 tahun cedera parah diserang.

Walaupun Monchi mahu semua peminat menunjukkan sokongan mereka bagi memburu satu lagi kejayaan terkenal Eropah, dia juga mendedahkan harapannya agar perlawanan itu berlangsung tanpa sebarang masalah.

"Saya mahu Rome dihiasi dengan kuning dan merah. Saya mahu semua peminat meletakkan sepanduk di balkoni bagi menunjukkan kepada dunia bahawa Rome menyokong Roma," kata Monchi dalam temubual dengan Il Romanista.

"Ada banyak perbincangan mengenai keganasan sekarang, jadi mari kita tunjukkan kepada semua bahawa peminat Roma tidak ganas."

Roma ketinggalan 5-0 di belakang Liverpool selepas 68 minit tetapi mempunyai harapan yang cerah hasil gol lewat Edin Dzeko dan Diego Perotti.