Leonardo Jardim menegaskan AS Monaco tidak akan mengorbankan "DNA" serangan mereka apabila menanti kunjungan Borussia Dortmund untuk aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara di sebalik memiliki kelebihan dalam pertemuan awal pagi esok.

Monaco mendahului perlawanan pertama 3-2 dan gol di tempat lawan meletakkan pendahulu Ligue 1 itu dalam kedudukan kukuh menjelang perlawanan kedua di Stade Louis II.

Aksi mendebarkan yang sudah menghasilkan lima gol itu bakal tiba di penghujungnya dan menurut Jardim, dia tidak akan mengorbankan potensi serangan Monaco untuk membentuk taktikal lebih bertahan sungguhpun tempat dalam separuh akhir berada dalam genggaman mereka.

"Pasukan yang akan digunakan akan menampilkan DNA kami yang tidak akan berubah," kata Jardim kepada pemberita. "Kami mahu mengekalkan momentum itu.

"Esok, ia akan menjadi satu perlawanan kelayakan dan kami hanya separuh jalan melalui peringkat suku akhir. Esok, kami mungkin perlukan jaringan untuk mara."

Perlawanan pertama minggu lalu terpaksa ditangguhkan selepas serangan ke atas bas pasukan Dortmund, namun Jardim percaya pasukan Bundesliga itu telah kembali fokus dalam kunjungan ke Monaco.

"Kami menjangkakan Dortmund akan menjadi lebih ampuh, mereka telah menghadamkan apa yang berlaku," kata jurulatih itu. "Saya berasakan Dortmund lebih kuat dari segi psikologi. Sebuah pasukan kuat yang telah melepasi masalah ini.

"Saya menonton perlawanan pada mereka hujung minggu lalu (membabitkan kemenangan 3-1 ke atas Eintracht Frankfurt), mereka bermain dengan baik. Gonzalo Castro dan (Marco) Reus telah kembali dan mereka berdua merupakan tonggak penting bagi mereka."

Monaco, yang akan turun tanpa pemain tengah, Fabinho, akibat penggantungan sedang mengimbangi komitmen Eropah dengan kejuaraan Ligue 1 apabila Paris Saint-Germain (PSG) dan Nice terus memberi tekanan tetapi Jardim percaya pasukannya cukup bertenaga untuk menghadapinya.

"Kami merupakan sebuah pasukan yang beraksi paling banyak di Eropah," kata Jardim. "Pemain sudah bersedia dan berfungsi dengan baik.

"Kami akan cuba untuk mengimbangi aksi Liga Juara-Juara dan liga, adalah perkara biasa apabila kami lebih letih berbanding pasukan yang kurang beraksi.

"Tumpuan kami adalah perlawanan esok, kami mempunyai tempoh 90 minit untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, begitu juga dengan lawan kami."