Monaco menaruh kepercayaan terhadap sentuhan Philippe Clement sebagai pengurus baru, dua hari selepas memecat Niko Kovac.

Clement menyertai Ligue 1 daripada kelab Belgium, Club Brugge, yang dibimbingnya sejak 2019.

Dia membimbing mereka merangkul kejuaraan Liga Pro Belgium sejak dua musim lalu termasuk kejayaan dalam Piala Super Belgium pada 2021.

Bekas pengurus Bayern Munich, Kovac, terpilih untuk menggantikan Robert Moreno pada Julai 2020 dengan perjanjian tiga tahun dan membawa Monaco menduduki tempat ketiga musim lalu.

Bagaimanapun, mereka tewas kepada Shakhtar Donetsk di peringkat play-off kelayakan Liga Juara-Juara pada Ogos lalu dan menduduki tempat keenam liga selepas 19 perlawanan.

Mereka memenangi tiga daripada empat perlawanan liga terakhir pada 2021 namun ia tidak menghalang mereka untuk melepaskan jawatan Kovac.

Monaco menewaskan Quevilly Rouen 3-1 dalam Coupe de France, semalam, dan akan menyambung kempen Ligue 1 dengan lawatan ke Nantes, Isnin depan.