Kegagalan sepakan penalti Radamel Falcao menjadi titik tolak kepada kekalahan 5-3 AS Monaco kepada Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi, kata Leonardo Jardim.

Jaguh Ligue 1 itu pada suatu ketika mendahului perlawanan pusingan 16 itu, 2-1, dan dihadiahkan sepakan penalti dalam separuh masa kedua.

Malangnya, rembatan lemah Falcao mudah diselamatkan Willy Caballero manakala Sergio Aguero menyamakan kedudukan lapan minit kemudian.

Sekalipun Falcao menyumbat satu gol lagi dengan lambungan cantik, City berhasil mengukuhkan kedudukan hasil sentuhan pemusnah Aguero, John Stones dan Leroy Sane di Stadium Etihad.

"Saya berasakan ini adalah antara perlawanan paling menarik dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini, ia mengujakan penyokong," kata Jardim.

"Ia aksi yang hebat untuk disajikan kepada penyokong.

"Saya membayangkan semua orang gembira dapat menonton aksi sehebat ini.

"Monaco telah menampilkan aksi yang hebat. Saya harus mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain saya.

"Kami melakukan beberapa kesilapan di bahagian pertahanan, di mana kami dihukum.

"Tetapi bagi saya, titik tolak kepada perlawanan ini adalah ketika kami mempunyai peluang untuk melebarkan kedudukan kepada 3-1.

"Kami bekerja keras untuk menghasilkan permainan menarik kerana kami begitu ghairah mengenai bola sepak dan kami mahu menghiburkan penyokong.

"Dapat menghasilkan tiga gol di Manchester City sangat bagus untuk persembahan ini, ia perlawanan yang hebat.

"Masih ada 90 minit untuk diperjuangkan, kami akan beraksi di tempat sendiri. Jadi, ia belum selesai.

"Sesiapa yang menontonnya di rumah juga telah menyaksikan sebuah perlawanan yang menakjubkan."