Majlis Olimpik Malaysia (MOM), merancang untuk mengambilalih program latihan atlet yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, memaklumkan proses itu dijangka selesai Disember ini dengan misi memburu pingat emas sulung temasya.

MOM merancang memainkan peranan lebih besar untuk penyertaan Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Ia susulan pelan memberikan lebih banyak kuasa kepada persatuan sukan kebangsaan dalam merangka program latihan atlet masing-masing.

Ketika ini, Majlis Sukan Negara (MSN) memantau semua program latihan atlet negara dengan bantuan persatuan sukan, MOM dan Institut Sukan Negara (ISN).

Setiausaha Agung Persekutuan Karate-do Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad, dilantik menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Chef De Mission (CDM) Sukan SEA Vietnam, tahun depan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat lembaga eksekutif MOM selepas Hamidin menarik diri.

Ini bermakna, Azmi bakal menggalas tugas penting mengetuai kontinjen negara selepas Malaysia menamatkan cabaran di tangga kelima keseluruhan dengan 56 emas.