Moise Kean tidak berasakan tekanan untuk menggantikan Cristiano Ronaldo di Juventus selepas kembali ke Turin.

Ronaldo, yang meledak 101 gol dalam 134 perlawanan sepanjang berkhidmat di Stadium Allianz, kembali ke Manchester United pada bulan lalu selepas 12 tahun meninggalkan Old Trafford.

Beberapa saat selepas pemergian kapten Portugal itu, Kean dipinjamkan daripada Everton dan kelab Serie A berkenaan wajib membelinya jika objektif tertentu tercapai.

Penyerang Itali itu menghabiskan musim lalu dipinjamkan ke Paris Saint-Germain (PSG) di mana dia mempamerkan prestasi mengagumkan dengan menyumbat 13 gol dalam 26 perlawanan Ligue 1.

Walaupun tiba selepas perpindahan Ronaldo, Kean memberitahu wartawan bahawa dia hanya fokus untuk mencapai kejayaan dengan pasukan kendalian Massimiliano Allegri itu dan bukan mengenai siapa yang telah digantikannya.

"Saya tidak tertekan untuk menggantikan Ronaldo," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya hanya ingin menghulurkan bantuan kepada pasukan di mana saya dibesarkan dan di mana saya menjalani kehidupan yang baik.

"Saya hanya mahu beraksi, saya tidak berdepan tekanan, saya mempunyai tanggungjawab ketika menyarung jersi Juventus."



Pemain berusia 21 tahun itu pernah mewakili Bianconeri dengan membuat penampilan sulungnya pada umur 16 tahun, lapan bulan dan 21 hari sekali gus menjadi pemain termuda kelab berkenaan.

Dia mencatat tujuh gol dalam 16 penampilan Serie A sebelum kempen mengecewakan di Everton, di mana dia hanya berjaya menyumbangkan dua gol dalam 32 perlawanan.

Allegri telah memberi kesempatan kepadanya ketika menentang Napoli dan Malmo, justeru dia menantikan cabaran yang akan datang.

"Memakai jersi hitam dan putih ini sering memberikan saya satu emosi yang hebat," sambungnya.

"Ini adalah satu pilihan yang tepat, saya bersedia menghadapi cabaran baru ini. Saya beruntung kerana pernah beraksi di liga luar.

"Saya di sini untuk menawarkan sentuhan buat pasukan di mana saya dibesarkan. Saya tidak berasakan bebannya sebaliknya berasa bertanggungjawab untuk memakai jersi ini dan memberikan 100 peratus.

"Kami tidak bermula dengan baik tetapi kami mempunyai objektif yang bagus. Saya yakin kami akan menghasilkan keputusan yang bagus."