Pemain tengah Terengganu, Mohd Faiz Mohd Nasir, bertekad mahu terus memikat hati pengendali, Irfan Bakti Abu Salim, untuk kekal dalam kesebelasan utama selepas membantu pasukan itu menduduki tangga kedua Liga Perdana, ketika ini.

“Sejak berpindah ke Terengganu, saya jarang diturunkan pada awal musim dan kesungguhan dalam sesi latihan mula membuahkan hasil.

“Ketua jurulatih (Irfan Bakti) mula memberi peranan penting kepada saya untuk menggerakkan jentera tengah walaupun lebih gemar beraksi di bahagian sayap,” ujarnya.

Mohd Faiz, 25, menyertai Sang Penyu musim ini dari kelab Liga FAM, Felcra FC, mencipta jaringan peribadi pertamanya bersama pasukan baharu itu sewaktu menewaskan Sabah 2-0, Sabtu lalu.

“Kalau boleh saya mahu menambah koleksi jaringan, namun yang penting, saya dapat membantu Terengganu meraih kemenangan.

“Jaringan ini sangat berbaloi dan diharapkan saya dapat mengekalkan prestasi untuk kekal dalam perancangan barisan kejurulatihan.

“Saya akan terus memberikan yang terbaik untuk perlawanan akan datang,” tambah Mohd Faiz lagi.