"Kami akan teruskan perjuangan," demikian harapan pemangku jurulatih Felda United, Mohamad Nik, selepas pasukannya dihimpit isu di luar padang sehingga tumpas 2-1 kepada Kelantan, malam tadi.

Ia merupakan kekalahan kedua The Fighters musim ini selepas empat perlawanan.

Enggan berselindung, Mohamad mengakui mereka berada dalam situasi sukar berikutan keputusan Azmi Mohamed meletakkan jawatan selaku jurulatih pasukan.

Nyata perancangan yang diterapkan masih belum dapat menjadi sepenuhnya, dia sedar pertemuan pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri ibarat satu lagi perperangan buat Felda United.

"Kami ibarat terlibat dalam satu peperangan, jadi kami perlu ada strategi sepertimana yang saya lakukan pada malam ini.

"Saya akan lakukan post mortem bagi memperbaiki aksi pasukan sebelum menghadapi JDT selepas ini," jelas Mohamad.

Dalam pada itu, pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail, yakin kemenangan ini dapat memberikan lebih motivasi bagi anak didiknya menghadapi pusingan kedua Piala FA berdepan Perak.

Meskipun bergelut ketika sesi pra-musim sebelum ini, Kelantan kini dilihat semakin stabil dalam peluang mereka mencabar kejuaraan.

Zahasmi turut berpuas hati dengan sumbangan yang dipamerkan kesemua empat tonggak import pasukan, terutama Mohamad Ghaddar, yang menjaringkan gol kemenangan.

"Selepas ini, kami akan ke Perak, ini adalah perlawanan yang amat penting.

"Insya-Allah kami akan meneruskan rentak kemenangan ini," kata Zahasmi.