Luka Modric percaya rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema, layak untuk memenangi Anugerah Ballon d'Or musim ini.

Modric merupakan pemain pertama menamatkan penguasaan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam perebutan Ballon d'Or ketika memenangi augerah itu pada 2018 -- menamatkan penguasaan 10 tahun dua bintang besar berkenaan sejak Kaka memenanginya pada 2007.

Messi merupakan pemegang rekod terbanyak dengan anugerah keenam yang diraihnya pada 2019 sebelum edisi tahun lalu terpaksa dibatalkan gara-gara pandemik koronavirus.

Anugerah itu akan kembali tahun ini dengan 30 pemain disenarai pendek dalam satu pengumuman pada 8 Oktober lalu.

Dalam senarai pendek itu turut terdapat nama Benzema, yang menempa nama bersama Madrid sepanjang beberapa tahun lalu dan menjadi taruhan utama pasukan itu sejak pemergian Cristiano Ronaldo ke Juventus pada 2018.

Di peringkat individu, tahun 2021 merupakan tahun terbaik sepanjang karier Benzema, di mana penyerang itu terlibat dengan 39 jaringan (28 gol dan 11 bantuan) dalam kesemua kejohanan dan hanya Kylian Mbappe (43), Erling Haaland (47) dan Robert Lewandowski (48) mempunyai rekod lebih baik dalam lima liga utama Eropah.

"Ayuh lihat apa yang akan berlaku," kata Modric kepada wartawan ketika ditanya mengenai peluang Benzema memenangi anugerah itu.

"Terdapat beberapa calon yang boleh menang. Karim salah seorang daripada mereka. Dia layak untuk memenanginya dengan cara dia bemain sepanjang tahun ini dan kerana kariernya.

"Dia sentiasa berada di tahap tertinggi dan pada akhirnya, dia kini telah memenangi gelaran (Liga Negara-Negara Eropah) bersama Perancis dan itu merupakan sesuatu yang penting apabila ia melibatkan undian.

"Saya pasti dia merupakan seorang calon pilihan. Harap-harap Karim dapat memenanginya," katanya.