Bekas jurulatih Dinamo Zagreb, Branko Ivankovic, sudah lama menyedari Luka Modric akan muncul antara yang terbaik di dunia sambil mengimbau dipersendakan apabila bercakap mengenai bintang Croatia tersebut.

Modric, 32, beraksi di bawah bimbingan Ivankovic di Dinamo lebih setahun sebelum berpindah ke kelab Liga Perdana, Tottenham Hotspur.

Sebelum aksi kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Werder Bremen pada 2007, Ivankovic memberitahu pemberita bahawa Modric -- 21 tahun -- lebih bagus daripada Diego, bekas pemain antarabangsa Brazil yang pernah mewakili Juventus dan Atletico Madrid.

Ivankovic teringat bahawa kenyataannya itu mencetuskan perhatian dan sejak itu, Modric menyinar bersama Croatia dan Real Madrid dengan memenangi empat gelaran UCL bersama gergasi Sepanyol berkenaan.

"Saya sangat bangga dapat mengatakan bahawa saya telah melatih Luka Modric di Dinamo," katanya kepada Omnisport.

"Malah, ketika itu saya sudah mengatakan bahawa dia akan menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia, saya membandingkannya dengan Diego atau dia mungkin lebih baik lagi.

"Pada mulanya, ramai orang ketawa tetapi jelas sekali perkara ini akan menjadi kenyataan," ujarnya.

Modric membantu Croatia mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia untuk menghadapi tuan rumah, Russia, di Sochi, awal pagi Ahad ini.

Ivankovic, penolong jurulatih Croatia yang merakamkan pencapaian sensasi layak ke separuh akhir edisi Perancis 1998, dan kini menggalas tanggungjawab bersama gergasi Iran, Persepolis, mendakwa keinginan Modric untuk mmemperbaiki permainan cukup jelas.

"Sudah jelas bahawa dia mempunyai tenaga semula jadi, semangat dan apa yang membezakannya dengan pemain lain adalah dia bertambah baik dan semakin bagus pada setiap hari tanpa mengira umurnya, di mana dia beraksi atau apa sahaja," katanya.