Luka Modric menandatangani kontrak lanjutan selama setahun bersama Real Madrid, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.

Kontrak asal bekas pemenang Ballon d'Or itu hampir ke penghujung tetapi dia kini akan kekal bersama Madrid sehingga Jun 2022.

Modric mempunyai karier gemilang bersama kelab itu sejak menyertainya daripada Tottenham Hotspur sembilan tahun lalu.

Dia telah memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sepanjang tempoh itu dan kekal menjadi tonggak utama pada usia yang mencecah 35 tahun.

Presiden kelab, Florentino Perez, pada April lalu mengesahkan bahawa satu kesepakatan telah dicapai tetapi tiada sebarang pengumuman dilakukan sehingga malam tadi -- tiga hari selepas tamat saingan liga, di mana Madrid terlepas gelaran LaLiga kepada seteru setempat, Atletico Madrid.

Modric melakukan 35 penampilan LaLiga musim ini dan pemain berpengalaman itu pernah memenangi Angerah Ballon d'Or pada 2018 selepas mengetuai pasukan kebangsaan Croatia ke final Piala Dunia.