Luka Modric memuji penyokong Real Madrid selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara dan menuntut suasana yang sama diterjemahkan dalam pertemuan El Clasico menentang Barcelona, awal pagi Isnin depan.

Juara bertahan Eropah itu mara ke separuh akhir menerusi agregat 6-3 dalam masa tambahan.

Cristiano Ronaldo yang menjaringkan hatrik, mencatat golnya yang ke-100 dalam Liga Juara-Juara Eropah, setelah kontroversi dibuang padang melanda pemain tengah Bayern, Arturo Vidal, di Santiago Bernabeu.

Bagaimanapun, Modric segera mengalihkan perhatiannya kepada lawatan juara bertahan LaLiga, Barca, ketika Madrid berazam untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas.

"Kami menampilkan prestasi yang hebat dan boleh membunuh permainan pada babak pertama," kata bintang Croatia itu.

"Kami gembira kerana telah sampai ke peringkat separuh akhir dan kini kami perlu menghadapi satu demi satu perlawanan dalam satu-satu masa untuk melihat jika kami mampu mempertahankan kejuaraan buat kali pertama dalam sejarah pertandingan Eropah.

"Kami akan menghadapi satu lagi perlawanan besar. Kemenangan itu akan menjadi titik tolak kepada usaha kami untuk meraih gelaran LaLiga.

"Kami perlu berehat jika ingin memperagakan prestasi mantap dalam perlawanan itu dan marilah kita berharap suasana yang sama seperti hari ini."