Jurgen Klopp menegaskan dia tidak kecewa dengan prestasi Mohamed Salah ketika menentang Manchester United sambil mengakui penjaring terbanyak Liverpool berkenaan tidak berada di tahap prestasi terbaik.

Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), namun hanya seri tanpa jaringan dengan United akibat masalah kecederaan.

Kedua-dua pasukan memiliki peluang terhad di Old Trafford tengah malam tadi dengan United kehilangan Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard ekoran masalah otot dalam babak pertama sementara Roberto Firmino dikeluarkan ekoran kecederaan buku lali sebelum rehat.

Liverpool buntu untuk mempamerkan sengat di bahagian serangan manakala Salah gagal mencetuskan impak sebelum digantikan pada minit ke-79, namun Klopp tidak gusar dengan persembahan penggempurnya itu.

"Saya tidak berada di sini untuk kecewa, saya di sini untuk membantu pemain memperagakan aksi terbaik mereka," katanya dalam sidang akhbar pasca perlawanan.

"Saya tidak berada di sini dengan mengatakan saya adalah yang terbaik ketika kami menang sedangkan ketika kalah atau gagal bermain dengan baik, maka semuanya salah pemain atau apa sahajalah.

"Saya cukup mengenali mereka, mereka mahu mencurahkan aksi 100 peratus tetapi kadangkala ia tidak menjadi.

"Mo tahu dia boleh bermain dengan lebih baik lagi daripada hari ini, kita semua tahu dia mampu.

"Dia mempamerkan aksi yang sangat mengagumkan ketika kami menentang Bournemouth dua minggu lalu. Ketika menghadapi Bayern, dia perlu berdepan (David) Alaba, seorang pemain bertaraf dunia. Mereka bukannya buta.

"Ia tentang bagaimana kami menggunakan keupayaan dan pendekatan permainan, bagaimana kami bergerak dan segalanya. Hari ini jelas sekali Victor Lindelof dan Luke Shaw melakukan tugas mereka dengan baik.

"Saya perlu bercakap tentang perlawanan ini tetapi saya tidak lagi terlalu berminat untuk mengulasnya kerana tumpuan saya sudah pun beralih untuk persediaan perlawanan seterusnya Khamis ini.

"Kami semua adalah manusia. Tetapi dalam hal ini, ia satu pengajaran terbaik untuk pemain dan kami akan belajar daripadanya."

Keputusan seri itu -- yang ketiga dalam empat perlawanan liga -- menyaksikan Liverpool mengatasi Manchester City di puncak dengan satu mata dan Klopp menegaskan ia tidak akan menyekat mereka daripada terus memburu gelaran liga.

"Tiada yang benar-benar serius berlaku hari ini. Kkami bertandang ke mari, kami mahu memenangi perlawanan ini di sebalik sensasi perlawanan ini tetapi United juga beraksi hebat," katanya.

"Pasukan besar lebih gemar bertahan ketika menghadapi kami. Itu tidak bagus untuk kami.

"Orang boleh mengatakan Man City sedang melakukan tugas dengan lebih baik tetapi kami tidak membandingkan diri kami dengannya kerana kami perlu mendapatkan mata dengan cara tersendiri.

"Ada cara yang berbeza untuk berjaya dan setakat ini kami berjaya. Saya berdepan cabaran lebih besar dalam beberapa perlawanan terakhir tetapi kami sudah berada di peringkat ini dan ayuhlah meneruskan perjuangan."