Dua tugasan perlu dilunaskan skuad Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan dengan Bhutan, Ahad ini.

Yang pertama, menghapuskan badi tanpa kemenangan sejak November 2016 dan kedua, menyumbang mata untuk memperbaiki ranking negara.

Malaysia sudah terlepas dua peluang untuk memperbaiki kedudukan ranking negara menerusi keputusan seri dalam aksi persahabatan dengan Mongolia dan kekalahan kepada Lubnan dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019.

Justeru, jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, tidak mahu aksi dengan Bhutan juga berakhir hampa.

"Kami mahu meraih keputusan positif, kami mahu memperbaiki ranking selain menamatkan kemarau kemenangan.

"Sebab itulah kami perlu fokus dalam aksi menentang Bhutan," ujar bekas jurulatih Kedah itu.

Misi menamatkan kemarau tanpa kemenangan sejak 16 bulan lalu perlu dilunaskan segera selain usaha memperbaiki ranking menjadikan aksi dengan Bhutan perlu diakhiri dengan kemenangan.

Aksi terakhir Bhutan di pentas antarabangsa berakhir dengan kekalahan 6-0 kepada Maldives, namun Cheng Hoe tidak mahu hal itu membuatkan anak buahnya berasa selesa.

Dua aksi terdahulu cukup memberi kesedaran kepada barisan pemainnya dan tempoh 90 minit pada Ahad ini menjadi medan terbaik untuknya menilai keseluruhan tonggak yang pertama kali dikumpulkan di bawah bimbingannya.

"Pemain sedar dengan matlamat utama, pemain perlu turun dengan positif.

"Sudah lama kita tidak menang di peringkat antarabangsa, jadi macam mana sekalipun kita perlu menang," katanya.