Zainal Abidin Hassan mengakui barisan pemain Penang melewati keadaan sukar disebabkan ketandusan kemenangan Liga Super sejak 22 Jun lalu.

Harimau Kumbang terdesak untuk memulihkan kutipan mata penuh menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur (KL) City, tetapi hakikatnya bukan kesebelasan terbaik yang mampu diberikan Zainal ekoran dua kecederaan melibatkan R Gopinathan dan Faizat Ghazali.

"Pemain-pemain di kedudukan tertekan, saya pernah lihat aksi mereka yang sebenarnya ketika bertemu JDT, Negeri Sembilan dan Terengganu di tempat sendiri.




"Untuk kembalikan semangat, mereka perlu menang selepas begitu lama.

"Saya harap cuti rehat ini -- banyak yang kami telah perbaiki tapi ia perlu diterjemahkan dalam perlawanan pada Sabtu ini," kata ketua jurulatih itu di Nadi Arena sebentar tadi.

Selain itu, pemain import, Hilal El Helwe, kembali ke Lubnan bersama skuad kebangsaan bagi memenuhi tuntutan kalendar antarabangsa FIFA.

Turut menjadi tanda tanya ketika ini adalah status Penang sebaik Melaka United ditarik penyertaannya daripada saingan Piala Malaysia, namun Zainal enggan beri sebarang komen.