Aksi Liga Super 2018 di antara Kedah dan Kelantan di Stadium Darulaman malam ini menyaksikan dua penyerang import, Paulo Rangel dan Lazarus Kaimbi, turun dengan misi tersendiri buat pasukan masing-masing.

Rangel turun dengan misi meraih jaringan pertamanya buat skuad Hijau Kuning selain memastikan Kedah mengutip tiga mata setelah tewas 2-0 di tangan Melaka sebelum ini.

Sejak kembali ke Malaysia dari kelab Thailand, Nakon Ratchasima, pemain dari Brazil itu tidak tertekan dengan kegagalan meraih gol dalam dua aksi sebelum ini dan yakin mampu melakukannya ketika berdepan Kelantan.

"Saya gigih berlatih dan cuba meningkatkan prestasi. Dalam aksi sebelum ini, saya memiliki beberapa peluang tetapi tidak bernasib baik.

"Kini, saya berasa bagus bersama rakan sepasukan dan akan cuba menyumbat gol bagi membantu pasukan meraih tiga mata," ujar Rangel.

Sementara itu, Kaimbi sedar skuad Kelantan amat memerlukannya bagi menjana kemenangan pasukan
malam ini.

Melihat kepada kedudukan Kelantan yang berada di tangga tercorot liga, Kaimbi perlu segera menemui
sasaran gol untuk menyelamatkan pasukannya.

"Apa yang saya lihat, kami diperkuatkan oleh ramai pemain muda yang bertenaga. Saya berada di sini untuk membantu pasukan dan memberikan segala yang dimiliki.

"Mengenai menjaringkan gol, saya tidak mahu bercakap banyak. Saya lebih rela memberikan fokus berbanding memberikan banyak komen," kata Kaimbi.