Kegagalan menewaskan Sarawak walaupun berkelebihan seorang pemain dalam dua pertiga waktu permainan menjadi pengajaran berguna buat MISC-MIFA agar tidak memandang rendah kemampuan lawan.

MISC-MIFA sepatutnya menamatkan permainan dengan kemenangan mutlak selepas mendahului 2-0, dengan Sarawak kehilangan ketua pasukan, Mohd Hairol Mokhtar, yang dilayangkan kad merah pada minit ke-33.

Bagaimanapun, sikap terlalu bersahaja memakan diri dan Sarawak mengambil kesempatan bangkit meraih satu mata berharga di laman lawan apabila berjaya mengikat kedudukan 2-2, kedua-dua gol melalui Bobby Gonzales.

"Usaha kami akan meneruskan persembahan terbaik dalam mencapai misi bersaing dalam Piala Malaysia," kata pengurus MISC-MIFA, K. Rajendran.

Sarawak yang hadir tanpa ditemani ketua jurulatih, Ian Gillan, menganggap satu mata sebagai lonjakan semangat selepas melalui kekalahan dua kali berturut-turut.

Penolong jurulatih, Pengiran Bala, menyanjung semangat juang pemain selain patuh kepada arahan taktikalnya cuba memerangkap MISC-MIFA melalui serangan balas.

"Kami menyedari bahawa MISC-MIFA akan melakukan serangan dan kami berjaya mencari ruang untuk melakukan serangan balas dan ia membuahkan hasil," kata Pengiran Bala.

"Selepas kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain, Sarawak tetap bersemangat mempamerkan aksi yang terbaik dan berjaya meraih satu mata daripada perlawanan ini," kata Bobby.