Daerah Miri, Sarawak akan menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah dari 8 hingga 18 April depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kejohanan edisi ke-30 itu dijangka akan disertai sekurang-kurangnya 12 pasukan, termasuk tiga pasukan berstatus kelab.

"Mereka akan bersaing untuk merebut habuan RM20,000 sebagai juara, RM10,000 sebagai naib juara dan RM5,000 untuk tempat ketiga," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penganjuran di Stadium Negeri Sarawak.

Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Abdul Wahab Rahim.

Menurutnya, Sarawak mengalu-alukan penganjuran sukan seperti itu kerana ia selari dengan hasrat negeri itu untuk muncul sebagai sebuah kuasa sukan.

Juara dua kali, MISC-MIFA, akan berusaha mempertahankan kejuaraan pada kali ini dan dijangka bakal disaingi oleh finalis tahun lalu, Sabah.

"Kami juga mengharapkan tuah sebagai tuan rumah akan membawa skuad Sarawak sekurang-kurangnya ke pentas final.

"Setakat ini, kami hanya mampu bersaing hingga ke separuh akhir," katanya lagi.

Ini merupakan julung kali kejohanan ini diadakan di kepulauan Borneo.

Selain MISC-MIFA, antara pasukan yang sinonim dengan kejuaraan ini ialah Sabah dan PDRM.

Kejohanan ini akan menjadi landasan pemilihan buat pasukan wanita Malaysia dalam menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.