Southampton menandatangani penyerang Liverpool, Takumi Minamino, secara pinjaman bagi baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2020-21.

Liverpool memberikan penghijrahan sementara buat bintang Jepun, Minamino, hari ini selepas Southampton membenarkan Shane Long berhijrah ke kelab Kejuaraan, Bournemouth secara pinjaman.

Minamino telah membuat 31 penampilan dan menjaringkan empat gol buat juara EPL sejak tiba dari gergasi Austria, Salzburg Januari tahun lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu telah meledak satu gol dalam sembilan perlawanan EPL musim ini, dan empat dalam semua pertandingan.


"Saya sangat gembira menyambut Takumi ke skuad kami sepanjang musim ini," kata pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl.

"Dia akan membantu memberikan satu lagi pilihan menyerang yang baik, dan yang penting adalah profil pemain yang tepat untuk kita.

"Ini akan memberi kita kedalaman tambahan dalam skuad kita pada masa yang penting, dan saya tidak sabar untuk mula bekerja dengannya di padang latihan."

Southampton menghuni tangga ke-11, 11 mata di belakang Liverpool yang menduduki tangga ketiga liga.