Takumi Minamino dijangka membuat penampilan sulung buat Liverpool dalam aksi 'derby' Merseyside menentang Everton dalam saingan Piala FA, menurut pengurus The Reds, Jurgen Klopp.

Penyerang serba boleh, Minamino, yang mampu bertindak sebagai pemain tengah, tidak dapat diturunkan berdepan Sheffield United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berhijrah dari Salzburg.

Liverpool bakal menggunakan skuad sama ketika mereka mengatasi Wolves apabila tanpa kelibat Alex Oxlade-Chamberlain, Joel Matip, Xherdan Shaqiri, Fabinho dan Dejan Lovren yang mengalami kecederaan.

Namun, ketika Liverpool menerima kunjungan Everton dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, Ahad ini, pemain kebangsaan Jepun, Minamino, dijangka turun membuat penampilan sulung bersama juara dunia itu.

"Dia mungkin beraksi berdepan Everton," kata Klopp. "Dia masih tidak dibenarkan lagi bertemu Sheffield United.

"Buat masa ini, kami hanya memikirkan mengenai pasukan ini. Dia telah bersama kami sejak semalam dan mula menampilkan keserasian bersama Sadio Mane dan Naby Keita yang memiliki DNA Salzburg.

"Saya mahu setiap pemain baru yang menyertai pasukan disambut dengan tangan terbuka dan gembira menyaksikan Minamino sudah mula menyesuaikan diri. Dia boleh bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Jerman. Ia membantu saya tetapi bukan kepada pasukan."

Klopp, yang turut memberikan bayangan tidak akan mendapatkan pemain baru lagi bulan ini, meminta untuk bersabar dengan Minamino.

"Anda harus memberikan dia masa. Kami memiliki pasukan berkualiti serta mungkin memiliki jentera serangan yang terbaik di dunia.

"Dia mampu turun dalam posisi yang berbeza. Salah seorang rakan saya dari Daily Mail membuat tajuk, 'dia sangat bagus, saya tidak tahu di mana mahu turunkannya'.

"Saya mahu memberitahu kami memiliki banyak pilihan buat Minamino. Kami mahu turun beraksi secara semula jadi yang mungkin."



Editor: Ammar Hakim