Sergej Milinkovic-Savic sangat gembira di Lazio dan tidak akan meninggalkan kelab itu ketika jendela perpindahan bulan ini, kata ejennya, Mateja Kezman.

Milinkovic-Savic dikaitkan dengan perpindahan keluar ketika musim panas lalu selepas menarik perhatian beberapa pasukan seperti Real Madrid, Manchester United dan Juventus.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun yang menyarung jersi skuad kebangsaan Serbia itu akan kekal bersama Lazio walaupun AC Milan dan Inter Milan turut menjadi potensi pilihannya.

Namun, bekas penyerang Chelsea, Kezman, berkata Milinkovic-Savic -- yang telah menjaringkan tiga gol dalam saingan Serie A musim ini -- akan kekal bersama kelab ibu kota Itali itu.

"Milinkovic-Savic sangat gembira di Lazio," kata Kezman.

"Dia menunjukkan rasa cintanya buat kelab dan peminat apabila memilih untuk kekal walaupun menerima banyak tawaran.

"Semua pemain muda mengalami naik dan turun prestasi. Dia melalui permulaan sukar musim ini tetapi dalam setiap perlawanan, dia meningkat, kembali ke tahap sebenar sejak bulan lalu.

"Orang ramai sering lupa bahawa dia bukan penyerang. Tugasnya bukan menjaringkan gol. Dia memberi banyak sumbangan buat pasukan dalam sesuatuperlawanan.

"Milinkovic-Savic tidak akan meninggalkan Lazio bulan ini, 100 peratus pasti. Tidak elok untuk bercakap mengenai perpindahan keluarnya sepanjang masa.

"Dia memiliki kontrak panjang bersama Biancocelesti, gembira dengan pasukan dan tidak akan dijual bulan ini.

"Semua orang harus menghormati Claudio Lotito selaku presiden kelab. Lazio adalah kelab hebat dan perlu dihormati."