Pertahanan AC Milan, Leonardo Bonucci, menyifatkan pasukannya "takut" ketika tewas 2-0 kepada Arsenal dalam saingan Liga Europa di San Siro, awal pagi tadi.

Jaringan Henrikh Mkhitaryan – gol sulungnya bersama The Gunners -- dan Aaron Ramsey memberikan kemenangan kepada skuad kendalian Arsene Wenger itu.

Pengurus, Gennaro Gattuso, menyifatkan kesilapan telah membawa padah kepada Milan tetapi Bonucci berasakan mentaliti pasukan telah menyaksikan mereka tewas buat kali pertama selepas 13 perlawanan.

"Kami tidak tampil dengan mentaliti yang betul sejak awal permainan," kata Bonucci.

"Milan beraksi dengan gugup seperti kami baru sahaja memulakan karier dalam bola sepak. Kami perlu belajar daripada kesilapan ini.

"Kami menyedari sukar untuk mengejar perlawanan ini tetapi kami akan mencuba. Apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak dan kami akan cuba untuk kekal positif," tambahnya.