VERONA 0 AC MILAN 1

Ketua jurulatih AC Milan, Marco Giampaolo, menegaskan segala isu yang timbul ketika menyaksikan pasukannya menewaskan Verona 1-0 dalam Serie A awal pagi tadi meningkatkan keazamannya untuk memperbaiki tahap serangan skuad Rossoneri itu.


Aksi sengit di Stadium Stadio Marc' Antonio Bentegodi itu ditamatkan dengan jaringan sepakan penalti oleh Krzysztof Piatek dalam babak kedua selepas Mariusz Stepinski (Verona) dan Davide Calabria (Milan) kedua-duanya dilayangkan kad merah.

Bagaimanapun, Giampaolo berasakan kemenangan itu terlalu tipis buat pasukannya.

Dia menganggap pendekatan bertahan Verona menyukarkan pasukannya untuk menghasilkan jaringan dan mereka masih belum belajar untuk bermain secara kolektif.

"Pasukan ini sedang berusaha untuk mencari keseimbangan dan saya tahu terdapat kekuatan dan kelemahan (dalam pasukan), namun saya akan berusaha untuk meningkatkan keupayaan individu dan sepasukan," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Setiap orang ada kelebihan dan kelemahan, tidak pernah ada pasukan yang sempurna.

"Saya gembira dengan usaha dan keghairahan kami dalam perlawanan ini, namun kesilapan boleh berlaku.

"Pasukan yang bertahan dengan 10 pemain amat sukar ditundukkan.

"Verona bermain secara bertahan dan kami terus melakukan serangan.

"Kami tidak melakukannya dengan sempurna dan sudah pasti kami perlu melakukan banyak perkara untuk memperbaikinya, namun kemenangan ini akan membantu kami.

"Saya tidak mahu mengambil jalan singkat, saya tahu kami perlu meningkat dan terdapat isu untuk dihadapi," katanya.

Keputusan terbaru itu menyaksikan Milan melewati dua kemenangan dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan pertama musim ini dan prestasi mereka jelas sudah banyak meningkat.

Selepas gagal merekodkan sebarang percubaan tepat ketika tewas 0-1 kepada Udinese dalam perlawanan pembukaan, Milan bangkit untuk menewaskabn Brescia dengan keputusan sama.

Dalam aksi berdepan Verona, mereka menghasilkan 17 percubaan tepat dengan Suso, Hakan Calhanoglu dan Franck Kessie kerap memberikan ancaman buat tuan rumah menerusi corak permainan bijak, namun Giampaolo menganggap perancangannya terhadap pasukan itu masih belum direalisasikan.

"Saya tidak menggemari sesuatu yang mudah. Saya mahu pasukan ini memiliki struktur untuk berusaha dan jaminan untuk terus berkembang.

"Terdapat ramai bakat individu dalam pasukan ini dan saya masih perlu memastikan mereka menyesuaikan diri dengan permainan sepasukan.

"Kita perlu jujur. Saya tidak mahu berselindung.

"Pasukan ini mencuba dan sudah terbiasa untuk bermain secara individu dan saya perlu memastikan mereka bekerjasama secara kolektif.

"Kami perlu belajar untuk menyerang dengan lebih baik, itulah kebenarannya," tambahnya.