SAMPDORIA 0 MILAN 1

Stefano Pioli menegaskan Milan memiliki kemampuan untuk mencabar gelaran Serie A selepas kemenangan dalam perlawanan pembukaan awal musim ini.


Milan melancarkan kempen mereka dengan kemenangan 1-0 ke atas Sampdoria di Stadium Luigi Ferraris, di mana Brahim Diaz menjaringkan gol tunggal ketika permainan hanya berusia sembilan minit, awal pagi tadi.

Pioli menampilkan persembahan sulung dengan mempertaruhkan muka baru termasuk di pintu gol, Mike Maignan, sementara ketiadaan Zlatan Ibrahimovic akibat kecederaan ditampung Olivier Giroud untuk mengetuai jentera serangan.

Biarpun kecederaan melanda Franck Kessie, Rade Krunic menghasilkan prestasi memberangsangkan di bahagian tengah sementara tiada perubahan terhadap gandingan di pusat pertahanan, Simon Kjaer dan Fikayo Tomori, untuk membantu Rossoneri mengekalkan rekod tanpa dibolosi dalam enam perlawanan berturut-turut, -- pencapaian terbaik mereka dalam liga sejak Februari 1994.

Selepas menamatkan saingan musim lalu dengan 12 mata di belakang seteru kota merangkap juara, Inter, mereka telah memenangi 11 perlawanan Serie A sejak awal tahun ini -- catatan terbaik dalam kalangan lima kancah utama Eropah di samping Manchester City dan Barcelona.

Justeru, tidak hairanlah mereka berhasrat menjadi lebih baik musim ini dan mengungguli Scudetto buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun.




Pengurus Milan, Pioli, nyata dirangsang oleh sifat kompetitif dan pilihan pemain dalam pasukannya selepas perlawanan pertama itu.

"Saya gembira memenangi perlawanan ini malah usaha anak buah dalam memburu gol kedua," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Saya seronok melihat bagaimana pasukan ini mentafsir pertemuan ini. Kami tidak berputus asa untuk mendapatkan gol dan ia adalah mentaliti yang tepat.

"Selain kecederaan Kessie, saya tahu kami telah membuat persiapan dengan baik.

"Kami menjadi pasukan yang lebih mantap dengan daya saing tinggi merebut tempat. Kami tahu banyak cara untuk menerapkan permainan.

"Kini sudah ada banyak keseimbangan. Saya tidak suka dengan sebarang kekangan. Saya tahu saya sedang melatih sebuah pasukan yang mantap berdasarkan pemain yang diturunkan ini.

"Mungkin perkataan yang tepat ialah kami sudah bersedia; ini adalah Milan yang paling bersedia."