AC MILAN 1 SASSUOLO 3

Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli, mengakui ada kekurangan yang ditampilkan pasukannya sehingga tewas 1-3 kepada Sassuolo dalam perlawanan Serie A di San Siro malam tadi.

Hari suram Rossoneri itu disumbangkan oleh emosi bercampur-baru yang dipacu Alessio Romagnoli -- yang menjaringkan gol pembukaan Milan sebelum dilayangkan kad merah dalam babak kedua -- pada ketika Sassuolo sudah selesa berada di depan.

Gianluca Scamacca dan Domenico Berardi menjaringkan gol buat Sassuolo yang mengapit jaringan sendiri Simon Kjaer, dalam pertarungan di mana Milan kelihatan bergelut untuk menandingi rentak permainan pasukan pelawat berkenaan.

Pasukan bimbingan Pioli itu menamatkan musim lalu di tangga kedua di belakang Inter Milan dan tidak tewas sepanjang 15 perlawanan Serie A pertama musim 2020-21. Ia kelihatan akan berulang musim ini apabila mereka berhasil mengelakkan kekalahan sepanjang 12 perlawanan pertama.

Bagaimanapun, dua kekalahan berturut-turut, masing-masing di tangan Fiorentina dan Sassuolo, telah membantutkan perkembangan itu untuk Inter kini hanya ketinggalan satu mata di belakang mereka dan Napoli pula berada di puncak Serie A dengan perbezaan tiga mata.

Bercakap mengenai prestasi pasukannya menentang kelab pertengahan liga itu malam tadi, Pioli berkata: "Kami kekurangan ketelusan, kami melakukan banyak kesilapan, terutama di bahagian lawan.

"Dalam babak pertama, kami banyak kali dapat memasuki kawasan mereka dan kehilangan hantaran terakhir.

"Amat jelas, kami perlu menjaga kelebihan kami dengan lebih baik. Beberapa minit selepas menjaringkan gol amat penting dan kami sebaliknya melakukan kesilapan dan terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal," katanya.