Stefano Pioli menegaskan Milan menimba pengajaran berharga susulan kekalahan 2-3 kepada Liverpool dalam aksi menghiburkan ketika mereka kembali ke Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Milan tampil dalam UCL buat pertama kalinya sejak 2014 dan juara tujuh kali itu hampir melakar kejutan di Anfield, di mana pelawat mendahului sempat separuh masa pertama dengan 2-1.

Ante Rebic dan Brahim Diaz masing-masing menjaringkan gol berselang dua minit untuk mengejutkan The Reds, tambahan pula Mike Maignan berjaya menafikan sepakan penalti Mohamed Salah selepas mereka ketinggalan berikutan gol sendiri Fiyako Tomori pada minit ke-9.

Begitupun, Salah menebus kegagalan awalnya dengan gol penyamaan selepas tiga minit memasuki babak kedua sementara Jordan Henderson menamatkan kemarau golnya selama tujuh tahun di pentas Eropah untuk menjadi pemisah kepada pertembungan Kumpulan B di Merseyside itu.

Walaupun pulang dengan tangan kosong, pengurus Milan tersebut -- yang mengemudi Rossoneri meraih tiga kemenangan dalam perlawanan pembukaan Serie A musim ini -- tetap positif selepas perlawanan itu.

"Ini adalah satu pengajaran berharga yang akan membantu kami untuk maju. Pasukan ini bermotivasi, kami memang sudah menjangkakan Liverpool akan bermula garang tetapi kami agak statik dan sukar melepasi tekanan pertama yang mereka berikan. Apabila anda tidak memiliki bola, anda akan menghadapi bahaya," kata Pioli kepada Sky Sport Italia.

"Ini adalah permainan bola sepak yang sangat baik, malangnya kami tewas kerana untuk membuat permulaan yang garang di sini pasti sangat penting.

"Saya membuatkan Anfield sedar bahawa pasukan ini mampu berkembang lebih pesat lagi dan kami masih memerlukan langkah tambahan daripada segi perincian kerana itulah yang akan membuat perbezaannya dalam UCL.

"Kami tumbang kerana mengeluarkan bola mati ke penjuru kotak penalti dan ia tidak sepatutnya berlaku."




Rebic muncul pemain Crotia ketujuh yang menyumbat gol dalam kemunculan sulung UCL dan yang pertama sejak Miroslav Orsic melakukannya untuk Dinamo Zagreb pada September 2019.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Diaz (22 tahun dan 43 hari) merupakan pemain termuda yang menjaringkan gol dalam UCL buat Milan sejak Yoann Gourcuff merakamkannya pada September 2006 (20 tahun dan 64 hari sewaktu menentang AEK Athens).

"Liverpool berhak meraih kepujian atas keamatan dan kualitinya, terutama dalam 25 minit pertama," kata Pioli.

"Kami berjaya mengubahnya dan penyesalan sebenar adalah dua gol yang kami lepaskan dalam separuh masa kedua. Seiring dengan kualiti Liverpool, ia juga berpunca daripada kesilapan kami sendiri.

"Mudah-mudahan pada masa depan kami akan menghadapi pasukan ini dengan lebih berkualiti dan tidak lagi dibolosi dalam situasi seperti itu."

Milan akan berhitung dengan Juventus dalam aksi Serie A pada awal Isnin depan.