Mikel Arteta mengakui memerlukan sedikit masa untuk memulihkan Arsenal selepas menempuhi permulaan terburuk dalam sejarah kelab itu.

The Gunners tewas 0-2 kepada Brentford dan Chelsea dalam dua perlawanan pertama musim ini dan berada di zon penyingkiran selepas lebih satu perlawanan buat kali pertama sejak Ogos 1992.

Buat julung kalinya juga dalam sejarah 118 tahun kelab mereka membuka kempen dengan dua kekalahan tanpa sebarang gol.

Arsenal menduduki tempat kelapan berturut-turut dalam dua musim terakhir lalu mengundang cemuhan di luar padang oleh penyokong sendiri sebaik tumpas kepada Chelsea di Stadium Emirates, kelmarin.









Pengurus itu, yang berada di bawah tekanan hebat meratapi kehilangan ramai tonggak utama akibat kecederaan dan masalah kesihatan, menekankan betapa pentingnya peminat untuk terus berdiri di belakang mereka.

"Saya harus mengucapkan terima kasih atas suasana yang kita lihat sebelum sepak mula bertemu Chelsea ketika setiap ahli pasukan diperkenalkan, ia sungguh istimewa," kata pengendali dari Sepanyol itu.

"Bulu roma saya tertegak dan tidak pernah berasa suasana seperti ini. Saya fikir penyokong sudah memberikan sokongan padu dan saya sedar mereka kecewa apabila kami tewas di tempat sendiri.

"Pasti ia akan mengundang reaksi tetapi ini adalah projek yang akan memakan masa.

"Anda boleh lihat dan sedar daripada pemain baru yang dibeli dan skuad ini masih mentah. Kejayaan tidak akan dapat dilakar dalam tempoh semalaman.

"Kami semua ingin menjayakannya secepat mungkin dan kami sedar adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bersaing dengan pasukan handalan dalam setiap kejohanan dan ia tidak akan berubah.

"Kami sangat memerlukan penyokong dan kumpulan pemain ini sangat memerlukan mereka. Kelab juga menagih sokongan mereka ketika ini kerana kami memerlukan keyakinan, sokongan dan tenaga itu."

Arteta, yang telah merakamkan 20 kekalahan daripada 60 perlawanan, berpeluang untuk mengubah nasib mereka apabila bertandang ke pasukan Liga Kejuaraan, West Brom, semepena pusingan kedua Piala Liga Inggeris (EFL) selain mencari pemangkin semangat untuk menghadapi perlawanan getir bertemu Manchester City, Sabtu ini.