Penyerang Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari, membawa misi serampang dua mata menjelang perlawanan terakhir Liga Hoki Malaysia (LHM) menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Bukan sahaja mahu memacu pasukannya mencipta keajaiban menjuarai liga, dia juga mempunyai misi peribadi memburu gelaran penjaring terbanyak musim ini.

Faizal optimis gelaran penjaring terbanyak musim ini akan dicapainya setelah meledak hatrik ketika menewaskan Nurinsafi 6-1 semalam.

Dua gol pukulan sudut penalti dan satu jaringan padang membolehkan penyerang THT itu memimpin carta penjaring terbanyak dengan 11 gol.

Pencabar terdekatnya merupakan bintang UniKL, Razie Abd Rahim, dengan tujuh gol.

Dalam satu temu bual Nadi Arena selepas perlawanan itu, dia berkata: "Syukur Alhamdulillah kerana THT menang dan jaringan yang terhasil daripada titik peluh saya.

"Saya berterima kasih kepada rakan-rakan kerana membantu saya. Apa yang penting adalah tiga mata dan saya dapat menggunakan setiap peluang dengan sebaik mungkin dan menghasilkan tiga gol.

"Sasaran saya adalah supaya THT dapat menjulang sekurang-kurangnya satu piala dan sekiranya dapat menjadi penjaring terbanyak, ia satu bonus," katanya.