Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan jadual saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang akan membuka tirai dengan perebutan Piala Sultan Haji Ahmad Shah di antara Johor Darul Ta,zim FC (JDT) dan Kedah pada 26 Februari depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan MFL dalam Facebook rasmi mereka hari ini, badan pengelola Liga-M itu menjelaskan bahawa Kedah dipilih mengisi slot Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas muncul naib juara Liga Super 2020.

Ia kerana saingan Piala FA dan Piala Malaysia musim ini terpaksa dibatalkan berikutan ancaman pandemik COVID-19 dan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk memilih Kedah selaku pasukan kedua terbaik musim 2020.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata perlawanan-perlawanan domestik seperti Liga Super dan Liga Perdana, masing-masing akan bermula pada 27 dan 28 Februari 2021 dan bakal berakhir pada 20 dan 21 Ogos 2021.

Tambahnya, kejohanan Piala FA pula akan bermula pada 2 dan 3 Mac 2021 sehingga final pada 11 September 2021 manakala Piala Malaysia bermula 17 dan 18 September 2021 sehingga 27 November 2021.

Piala Cabaran pula akan diadakan pada 3 dan 4 September 2021 sehingga final pertama pada 6 atau 7 November 2021 diikuti final kedua pada 13 atau 14 November 2021.

“Bagi persiapan pasukan untuk musim 2021, pihak MFL telah menetapkan tempoh pendaftaran pertama, pasukan boleh mendaftarkan pemain bermula 21 November 2020 sehingga 14 Februari 2021 di mana mereka memiliki tempoh sehingga 12 minggu.

“Bagi tempoh pendaftaran kedua, pasukan boleh berbuat perkara sama bermula 12 Julai 2021 sehingga 8 Ogos 2021 di mana tempoh empat minggu telah diperuntukkan,” katanya.

MFL UMUM KALENDAR LIGA MALAYSIA 2021 Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan tarikh-tarikh bagi kalendar...

Posted by Malaysian Football League on Monday, 16 November 2020