Pintu untuk Perak bersaing pada musim ini masih belum tertutup sambil Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia memberi pengecualian.

Untuk rekod, aduan gaji tertunggak musim lalu oleh dua bekas pemain import dari Brazil, Careca dan Leandro Dos Santos, mendapat perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hingga menghalang Perak daripada mendaftarkan muka baru.

Tetapi The Bos Gaurus masih berpeluang untuk bersaing dalam Liga Perdana musim ini dengan menyerap pemain Piala Presiden dan Piala Belia yang sememangnya sudah didaftarkan.

"Dalam sebarang kes, kalau dapat 19 pemain sahaja, perkara ini boleh saya bawa kepada (mesyuarat) ahli lembaga pengarah (FAM) untuk diberi pengecualian praktikal.

"Kami tidak perlu menghalang sesebuah pasukan kalau tidak dapat melengkapkan senarai 20 pemain.

"Ia seharusnya praktikal dalam senario ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam.





Berhubung kemelut gaji itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menetapkan tempoh pembayaran selama seminggu dari 22 Februari yang diberikan FIFA.

Hingga ke saat ini, kelab utara itu masih gagal membuat sebarang pembayaran yang boleh membawa kepada kemungkinan sekatan perpindahan pemain menjadi kenyataan.

Stuart ditemui ketika majlis pengumuman penajaan dengan Luno yang merupakan sebuah bursa aset digital dengan nilai RM1 juta setahun.

"Kami mahu lebih dekat dengan peminat bola sepak agar mereka dapat mengetahui lebih lanjut tentang nilai mata wang kripto termasuk pemain bola sepak selain pakar kewangan," kata pengurus negara Luno Malaysia, Aaron Tang.