Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memuji usaha yang dilakukan Sarawak United dalam melangsaikan tunggakan gaji pemain tetapi menegaskan ia perlu dijelaskan sepenuhnya sebelum atau pada tarikh akhir 31 Disember ini.

Ia bagi mengelakkan pasukan itu dikenakan sekatan perpindahan pemain walaupun terdapat tanda-tanda positif masalah itu dapat diselesaikan setakat ini.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, berkata: "Sarawak United mempunyai tiga tempoh yang perlu dihadapi mereka, iaitu pada 14 Januari (antaranya).

"Seandainya pembayaran lengkap tidak dilaksanakan pada tarikh yang dijanjikan, iaitu pada 31 Disember ini, meraka hanya mempunyai 14 hari sebelum denda penolakan mata akan dikenakan.

"Selepas itu, dalam masa 14 hari lagi, jika masih tiada pembayaran penuh, mereka akan sekali lagi dikenakan penolakan mata dan tujuh hari selepas itu, penarikan lesen boleh berlaku," katanya.

Terdahulu, Sarawak United diarahkan untuk melunaskan kesemua tunggakan gaji pemain selama tiga bulan yang dianggarkan mencecah RM2 juta.

Diharapkan pasukan itu, yang kini diberikan lesen kebangsaan bersyarat, dapat menyelesaikan masalah berkenaan bagi memastikan kedudukan mereka dalam Liga Super terjamin.