Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu telus dan terbuka, kata pemerhari sukan negara, Mohd Anizu Mohd Nor, yang mempersoalkan tindakan badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu merahsiakan jumlah sebenar penajaan selama tiga tahun daripada Telekom Malaysia (TM) dan menganggapnya sebagai tidak adil buat warga bola sepak tanah air.

Di sebalik khabar gembira TM kembali menaja Liga-M, wujud persoalan dalam kalangan peminat mengenai nilai sebenar liga musim ini.

Ia selepas pentadibir liga itu enggan mendedahkan perkara berkenaan kepada umum kerana mahu menghormati perjanjian dengan penaja utama itu.

Jumlah sebenar tajaan itu hanya akan diketahui oleh rakan kongsi MFL tetapi Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Mohd Anizu, berasakan ia bukanlah tindakan yang wajar.

"Sukan di negara ini terdiri daripada banyak pihak dan yang paling penting adalah penyokong.

"Kerana mereka boleh menentukan kejayaan dan kegagalan sesebuah pasukan.

"Jika hanya rakan kongsi yang tahu (nilai tajaan), bagaimana pula dengan kelab penyokong setiap pasukan?

"Mereka pasti akan tertanya-tanya.

"Ia akan melahirkan rasa kurang senang dan kurang yakin dalam kalangan peminat.

"Jika mereka tahu, mereka akan lebih bersemangat," katanya.

Difahamkan, nilai tajaan terbaru itu membabitkan peruntukan RM1.5 juta kepada pasukan Liga Super dan RM500,000 buat pasukan Liga Perdana.

Begitupun, jumlah itu hanya anggaran awal dan masih belum dimuktamadkan secara rasmi oleh MFL.

"Dengan adanya penaja, keyakinan semua pasukan akan meningkat," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon.

"Selangor amat berbesar hati kerana perkara ini dapat diselesaikan dengan baik."

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri, menambah: "Keyakinan bertambah dan kami berharap ia akan menjadi titik permulaan untuk MFL menjadi lebih profesional dalam mengendalikan liga bola sepak di Malaysia."


Editor: Muzaffar Musa