Ahli Lembaga Pengarah, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Yusoff Mahadi, tidak menolak peruntukan geran RM1 juta kekal buat Perlis merujuk kepada beberapa perkara.

Biarpun tiada sebarang keputusan lagi berhubung status geran buat Perlis yang sudah dilucutkan daripada senarai pasukan Liga Perdana, Yusoff ada pendapat sendiri.

Perlis tidak layak menerima geran yang dimaksudkan, namun demi kelangsungan pembayaran hutang lapuk bernilai lebih RM700,000, ia mungkin akan dipertimbangkan.

Keputusan penuh hanya akan diketahui esok.

Yusoff secara peribadi berpendapat: "Pemain-pemain sudah mengharapkan FAM menyelesaikan isu tunggakan gaji ini. Jika ia dapat membantu mereka, apa salahnya?"

Bagaimanapun, isu pembayaran hutang Perlis tidak berkesudahan kerana jumlah itu tidak melibatkan isu baru membabitkan musim 2019.

Jika ada lebihan daripada geran RM1 juta itu, ia tidak cukup untuk menampung hutang baru.

"Jika peruntukan RM1 juta diberikan selepas isu tunggakan gaji dapat diselesaikan, ia dapat digunakan bagi musim baru dan MFL mungkin mengambil tindakan menyelesaikan perkara ini bagi pihak persatuan terlebih dahulu," ujarnya.