Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ghani Hassan, masih menunggu Felda United menarik diri secara rasmi sebelum langkah seterusnya boleh dipertimbangkan kedudukan pasukan yang akan menggantikan The Fighters musim depan.

Hingga ke saat ini, MFL masih menganggap Felda masih sebahagian daripada pasukan yang berada dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) kerana belum ada sebarang penarikan diri secara rasmi daripada pasukan itu.

"(Kedudukan) Felda United masih seperti biasa, kami masih menunggu surat penarikan diri mereka.

"Setahu saya Ahli Lembaga Felda akan bermesyuarat esok dan selepas itu akan ada satu kenyataan daripada Felda," katanya.

Justeru, ia membantutkan usaha MFL untuk mempertimbangkan kemasukan pasukan baru yang khabarnya sedia menggantikan kedudukan Felda dalam saingan Liga Perdana musim depan.

"Kami perlukan pengesahan rasmi daripada Felda dan sekiranya mereka berminat (untuk terus bersaing tetapi di bawah pengurusan berbeza) selepas jatuh ke Liga Perdana musim depan.

"Tetapi ia juga bergantung kepada presiden FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Md Amin) sama ada permintaan lesen mereka diluluskan atau tidak," tambahnya.


? | CIMB LIGA SUPER MALAYSIA 2020 . Antara sorotan aksi aksi perlawanan di antara Felda United FC menentang Pahang FA...

Posted by FELDA UNITED FC on Sunday, September 20, 2020


Selepas 15 hari mengumumkan akan menarik diri dalam Liga-M, pengurusan baru kelab itu membuat pusingan 'U' dan kedudukan mereka akan ditentukan esok.

Lembaga Pengarah Felda United difahamkan akan mengadakan perbincangan yang akan menjurus kepada keputusan rasmi bagi menentukan nasib skuad kendalian Nidzam Jamil itu pada musim depan, Khamis ini.