Badan penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), masih belum menerima sebarang aduan masalah tunggakan gaji pemain yang dikatakan melibatkan pasukan Liga Super, Perak FC.

Difahamkan, pasukan itu berdepan masalah tunggakan gaji pemain sejak tiga bulan lalu, di mana ia turut menyumbang kepada kemerosotan prestasi mereka sejak akhir-akhir ini.

MFL akan memberikan tempoh sehingga Jun ini untuk kes itu dirujuk kepada mereka.

"Kami akan melihat sehingga Jun depan di mana akan ada satu tarikh untuk menentukan dan mengetahui segala masalah," kata Ketua pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Kami di MFL tidak mahu ada masalah pembayaran gaji dalam FC, (kelab bola sepak), yang kali pertama diperkenalkan pada tahun ini, dan juga buat kesemua pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia."