Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan bahawa tempoh pendaftaran pertama Liga Malaysia 2021 dilanjutkan dari 12 Februari sehingga 19 Februari ini selepas permohonan badan pengelola liga tempatan itu diluluskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menerima surat kelulusan permohonan itu melalui email daripada FIFA semalam (11 Februari 2021) dan unit TMS FAM telah memaklumkan perkara berkenaan kepada MFL.

“Sebelum ini MFL telah buat keputusan bahawa tempoh pendaftaran pertama Liga Malaysia akan bermula pada 21 Januari 2021 sehingga 12 Februari 2021," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Namun, dalam perjumpaan dengan CEO-CEO kelab, keputusan baru dibuat untuk MFL cuba memanjangkan tempoh pendaftaran pertama ini disebabkan beberapa kesukaran dalam tempoh COVID-19 ini untuk kelab-kelab membuat pendaftaran, terutama melibatkan pendaftaran pemain import mereka.

“Dengan itu, MFL telah membuat permohonan kepada FIFA melalui FAM untuk diberikan kelonggaran menyambung tempoh pendaftaran pertama ini kepada 19 Februari 2021.

“Jadi, Alhamdulillah, pada malam tadi, jam 9 malam, FAM telah menerima emel daripada FIFA, maka kami dimaklumkan bahawa FIFA telah meluluskan permohonan MFL menerusi FAM dan ini merupakan perkembangan yang amat baik bagi pasukan atau kelab yang terlibat dalam Liga Malaysia kerana mereka mempunyai masa seminggu lagi untuk memastikan pemain-pemain mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi Liga Malaysia.

“Jadi, kami berharap dengan penyambungan selama satu minggu ini, maka pasukan akan dapat menggunakan tempoh yang ada sebaik mungkin kerana tidak ada lagi masa tambahan atau penyambungan lain yang boleh diberikan oleh FIFA,” katanya.

Tambah Ab Ghani, kebenaran yang diberikan oleh FIFA itu pastinya memberikan suntikan semangat buat kelab-kelab yang telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak kerajaan bagi memulakan latihan pada 15 Februari ini sebelum sepak mula Liga Malaysia pada 5 Mac depan.

“Banyak perkara-perkara yang memihak kepada MFL dan juga kelab-kelab di mana kerajaan membenarkan latihan dan perlawanan Liga Malaysia dijalankan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini serta kebenaran lanjutan tempoh pendaftaran pertama oleh FIFA.

“Maka, gunakan kelebihan yang diberikan ini dengan baik untuk memastikan Liga Malaysia ini dapat berjalan dengan baik, ikuti SOP (prosedur operasi standard) yang telah diberikan petang semalam kepada semua pasukan seperti yang telah disarankan oleh kerajaan melalui dua pilihan iaitu ‘home quarantine training’ dan ‘camp quarantine training’.

“Maka, semua pasukan harus memastikan agar semua pemain dan pegawai yang terlibat mematuhi SOP ini untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku dalam Liga Malaysia ini,” katanya.



TEMPOH PENDAFTARAN PERTAMA LIGA MALAYSIA 2021 DILANJUTKAN Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa...

Posted by Malaysian Football League on Thursday, 11 February 2021