Dengan 17 hari menjengah sepak mula Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjelaskan langkah proaktif telah pun diambil untuk penganjuran tahun ini.

Dalam temu bual eksklusif Nadi Arena, Presiden MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan, yakin persiapan baru ini mampu membendung dilema yang sering kali menimpa saingan tempatan musim-musim yang lalu.

"Kadang-kadang pengadil juga boleh dijadikan isu. Masalah di Malaysia ini sedia maklumlah, antaranya masalah gaji.

"Jadi MFL telah perketatkan lagi pelesenan. Ada kriteria-kriteria yang perlu dipatuhi seperti kewangan.

"Kalau dulu kami semak pelesenan dalam tempoh enam bulan sekali, tapi sekarang sebulan sekali untuk memastikan perjalanan kelab.

"Kalau ada masalah, MFL akan menghubungi, menasihati dan cuba membantu mereka," katanya.




Dengan perebutan Piala Sumbangsih musim ini membabitkan pertembungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu, Ghani berharap ia menjadi sinar baru bola sepak negara, lebih-lebih lagi selepas COVID-19 melanda.

"Musim 2020 saat paling sukar di peringkat kami dan kelab sendiri.

"Ada penaja yang tarik diri dan mengurangkan penajaannya.

"Jadi pertandingan 2022 berjalan dengan baik dan untuk musim 2023 pula, kami menstruktur semula liga kita agar lebih berdaya saing setidak-tidaknya di rantau Asia Tenggara.

"Ia bertujuan meraih nilai komersial yang tinggi khususnya kepada pemegang taruh dan kepentingan rakan kongsi Liga-M.

"Kami juga menstruktur liga simpanan yang digelar Liga Piala MFL untuk membantu FAM untuk melahirkan pemain muda bagi mewakili negara," katanya lagi.

Dalam masa sama, Ghani mengakui penyusunan jadual membabitkan 14 pasukan perlu diambil kira agar tiada pertembungan venue selain memastikan perlawanan tidak tergendala mahupun ditunda.




"Kami telah menyusun jadual dengan lebih teliti.

"Penyusunan jadual berjalan amat lancar kecuali keadaan cuaca yang kami harapkan ia dapat diatasi dari semasa-semasa.

"Saya harap perancangan penstrukturan ini berjalan lancar. Tiada lagi Liga Perdana, hanya ada Liga Super. Dari 12 kepada 14 pasukan selain pertambahan perlawanan.

"Adalah penting untuk pastikan perlawanan tidak tertangguh, malah boleh mengganggu perancangan Astro sendiri.

"Sudah tentu Astro mahukan MFL lebih berusaha dalam mempertinggikan mutu perjalanan Liga-M termasuk dalam soal penyiaran," katanya.